Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris

E-mail Print PDF
DEFINISI MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
 
Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
 
Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
TUJUAN MBMMBI
  • Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
  • Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
STRATEGI PELAKSANAAN MBMMBI
Memartabatkan Bahasa Malaysia
Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
  • Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
  • Asas Berbahasa (Back To Basics)
  • Didik Hibur
  • Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
  • Program Bacaan
  • Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
  • Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
  • Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
  • Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
  • Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.
 
Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.
 
Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
 
Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
 
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.
 
Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.
 
Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.
 
Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.
Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.
 
Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.
 
Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.
 
MEMPERKUKUH PENGUASAAN BAHASA INGGERIS
 
Strategi memartabatkan Bahasa Inggeris meliputi perkara-perkara berikut:
  • Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Renda
  • Asas Berbahasa (Back to Basics)
  • Didik Hibur – Modul Language Arts
  • Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
  • Penetapan Model Bahasa Inggeris
  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
  • Sumber P&P – Makmal Komputer
  • Guru : Contact Time Berkualiti
  • Perkongsian dan Jaringan Guru
  • Kepimpinan Sekolah
Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris – peruntukan waktu bagi SK Tahap 1 dan Tahap 2 ditambah sebanyak 90 minit, manakala peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap 1 ditambah sebanyak 60 minit dan Tahap 2 ditambah sebanyak 30 minit. Perun tukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan 1 hingga 6 ditambah sebanyak 80 minit dan untuk Malaysian University English Test (MUET) untuk Tingkatan 6 ditambah sebanyak 80 minit. Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah sebanyak 3 jam.
 
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Rendah – Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan Bahasa Inggeris melalui pendekatan modular.
 
Asas berbahasa (Back to Basics) – Kurikulum Bahasa Inggeris menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas Bahasa Inggeris dengan memberi penekanan kepada Phonics di samping menerapkan elemen pembelajaran yagn menyeronokkan dalam modul Language Arts. Pengajaran tatabahasa dalam konteks diberi penekanan khusus dalam modul tatabahasa.
 
Didik Hibur – Modul Language Arts menekankan aspek didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar. Bahan bacaan estetik seperti Sastera Kontemporari Kanak-kanak, bahan Bacaan Awal Berstruktur dan Bacaan Ekstensif disediakan bagi mendedahkan murid kepada Bahasa Inggeris pelbagai genre.
 
Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris – Kurikulum Bahasa Inggeris akan mengintegrasi elemen matematik dan sains melalui tema yang berkaitan dan akan menumpukan kepada istilah/kosa kata serta struktur ayat mata pelajaran berkenaan.
 
Penetapan Model Bahasa Inggeris – model Standard British English digunakan sebagai panduan supaya setiap guru dapat merujuk kepada standard yang sama dari segi sebutan, penulisan dan tatabahasa.
 
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah – Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris akan menggunakan pendekatan modular. Setiap komponen kemahiran bahasa mempunyai modul P&P tersendiri dan P&P tatabahasa akan diberi fokus dalam modul Grammar.
 
Sumber P&P – Makmal Komputer akan ditambahbaik dengan perkakasan dan perisian supaya boleh turut berfungsi sebagai makmal bahasa. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam P&P Bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian yang sesuai.
 
Guru – Bagi meningkatkan contact time yang berkualiti antara guru – murid, seorang guru Bahasa Inggeris gred DG41 akan disediakan bagi membantu guru yagn mengajar kelas berenrolmen besar (contoh: kelas melebihi 35 murid) di Tahun 1 dan 2.
 
Perkongsian dan Jaringan Guru – sinergi dalam kalangan guru amat penting untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang P&P yang termkini dan berkesan.
 
Kepimpinan Sekolah – Guru Besar dan Pengetua akan diberi lebih banyak pendedahan tentang peranan mereka sebagai pengurus kurikulum. Mereka perlu memahami matlamat dan kehendak kurikulum Bahasa Inggeris dan turut merancang program yang sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Jawatan Penyelaras BI akan diwujudkan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Program seperti English Camp atau English Village akan dijalankan secara berterusan.

Last Updated ( Wednesday, 29 September 2010 01:43 )